Akibat serangan strok yang sedikit sebanyak ada kaitan dengan penyakit kencing manis yang dihidapi selama ini, bekas wartawan dan hos stesen televisyen TV3,Mazidul Akmal Sidek, 49, terpaksa melupakan terus dunia penyiaran yang amat diminatinya.
Popular dengan rancangan 999, dia telah mengalami strok sejak tiga tahun lalu dan pernah disahkan doktor sebagai hilang keupayaan kekal.
Namun, berkat semangat kental untuk kembali normal, dari terlantar, kini Mazidul mampu duduk di atas kerusi roda dan kembali bertutur walaupun ingatannya sedikit lemah.
Bertemu dengannya di pameran My Stroke Story di pusat beli-belah NU Sentral baru-baru ini bersama isterinya, Khairul Fazlin Kamarudin, Mazidul kelihatan sihat berbanding tiga tahun lalu untuk berkongsi pengalaman berhadapan penyakit itu.
Menceritakan bagaimana penerimaan keluarga apabila Mazidul diserang strok, Khairul Fazlin mengakui, pada awalnya mereka sekeluarga sukar menerima kenyataan bahawa suaminya bukan lagi individu yang dahulu, malah terpaksa dibantu sepenuhnya bagi menguruskan hidup.
“Bayangkan, abang seorang yang kuat bekerja, tidak pernah kisah tentang sakit demam, tiba-tiba terlantar tanpa mampu melakukan apa-apa.
“Sedihnya melihat keadaan abang, apatah lagi anak-anak yang sangat rapat dan bapa tetapi kini sudah tidak seperti dahulu.
“Ketika dia terlantar, setiap hari dia minta saya menyiapkan kelengkapan kameranya untuk bersiaran di televisyen dan setiap hari juga saya perlu mengingatkan bahawa dia sedang sakit.
“Apabila saya mengingatkannya, dia berdiam diri dan menjadi murung tetapi saya tidak mahu dia menjadi seperti itu. Saya tidak tahu bagaimana untuk menguruskan emosinya ketika itu, saya hanya mampu memarahinya, bukan bermaksud saya tidak sayang.
“Tetapi saya mahu kembalikan semangatnya supaya positif dengan kehidupan kini dan menganggapnya sebagai satu cabaran yang perlu ditempuhi.
“Lama-kelamaan abang dapat menerima dan perlahan-lahan saya melihat proses pemulihannya berjalan dengan lancar. Bukan dalam tempoh yang singkat abang berjaya melalui proses pemulihannya.
“Dahulu, dia langsung tidak boleh duduk, hanya terbaring di katil dan mengangkat sebelah tangan, namun selepas setahun, dia kini sudah boleh bertutur dan mampu duduk di atas kerusi roda,” katanya.
Setia dengan suaminya meskipun perlu keluar bekerja untuk menanggung keluarga dan dalam masa yang sama menguruskan dua anak lelaki yang sedang membesar, Khairul Fazlin tabah menerima dugaan tersebut.
Dia mengakui sokongan moral amat diperlukan untuk pesakit dan keluarga yang menjaga pesakit strok.
Apa yang membuatnya kuat ialah dengan mengingati kata-kata suaminya dahulu ketika masih sihat, ‘jangan fikir kita sahaja susah kerana ada orang lebih susah daripada kita’.
“Kata-kata menjadi pembakar semangat dan dorongan kepada saya untuk melihat suami kembali normal.
“Jika emosi orang yang menjaga terganggu, bagaimana untuk menguruskan pesakit yang lebih teruk terganggu bukan sahaja emosi bahkan keupayaan fizikal yang hilang sekelip mata.
“Jadi pentingnya sokongan daripada orang sekeliling seperti ahli keluarga, majikan, dan rakan-rakan apabila individu itu berhadapan dengan penyakit yang tidak dijangka,” kata Khairul Fazlin.
Ujarnya, walaupun pernah disahkan hilang keupayaan kekal, berkat usaha suaminya sendiri mengikuti proses rawatan dan fisioterapi untuk menguatkan kembali tulang dan ototnya, sudah nampak perubahan.
Menurutnya, pesakit strok sebenarnya mempunyai harapan untuk kembali normal, walaupun bukan 100 peratus seperti dahulu, sekurang-kurangnya ada perubahan yang berlaku untuk meningkatkan kualiti kehidupan mereka.
Bertugas sebagai pegawai bank, dia bersyukur dengan perkembangan kesihatan yang ditunjukkan Mazidul.
Suaminya akan menulis catatan seharian untuk mengisi masa lapang dan memenuhi jemputan acara jika keadaannya sihat.
Pantau tekanan darah elak serangan strok
Setiap tahun, lebih 17 juta orang di seluruh dunia pernah berhadapan dengan penyakit strok dan daripada jumlah tersebut, enam juta orang telah meninggal dunia dan lima juta orang lagi hilang keupayaan.
Di Malaysia sendiri, penyakit strok merupakan penyakit kedua yang menyumbang kepada kes kematian.
Strok berlaku disebabkan oleh aliran darah ke otak tersekat, yang mana otak sama seperti organ-organ lain, memerlukan oksigen untuk berfungsi. Apabila sel otak tidak mendapat oksigen yang secukupnya, boleh menjadi rosak.
Menurut Presiden Pertubuhan Hipertensi Malaysia (MSH), Prof. Datin Dr. Chia Yook Chin, penyakit strok merupakan masalah global, namun jumlah penghidap tekanan darah tinggi yang besar di Asia, menyebabkan penyakit ini lebih serius untuk ditangani.
“Terdapat dua jenis strok yang boleh berlaku iaitu strok iskemia, yang disebabkan oleh sekatan pada aliran darah (salur darah tersumbat) dan strok berdarah, yang menyerang apabila berlaku pendarahan di dalam salur darah (salur darah pecah).
“Strok boleh berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran dan memerlukan rawatan segera. Antara gejala-gejala strok adalah muka berubah, tangan atau kaki berasa lemah, sukar untuk bercakap, kabur penglihatan, hilang keseimbangan dan pening.
“Ada juga individu yang terus mengalami lumpuh sebelah badan sama ada di sebelah kanan atau kiri, namun bukan semua jenis strok menyebabkan lumpuh kerana gangguan saraf berlaku jauh dari bahagian otak yang mengawal pergerakan,” katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran pameran My Stroke Story bersempena dengan kempen The Morning Hype anjuran Pfizer baru-baru ini.
Ujarnya, daripada keseluruhan kes, 80 peratus daripadanya boleh dicegah jika menyedari simptom-simptom yang berlaku lebih awal dan mengelak daripada risiko-risiko strok akibat daripada tekanan darah yang berkait rapat dengan kerosakan arteri.
Jelasnya, apabila tekanan darah tidak dikawal berkemungkinan strok berlaku.
Langkah pertama dalam menguruskan lonjakan tekanan darah pada waktu pagi adalah melalui pemantauan tekanan darah yang tetap di rumah untuk mengurangkan risiko strok.
Katanya, 30.3 peratus daripada orang dewasa berumur 18 tahun ke atas mempunyai masalah darah tinggi. Paling membimbangkan, lonjakan tekanan darah tinggi pada waktu pagi iaitu lebih daripada 135/85 mmHG yang berlaku pada pukul 6 pagi sehingga tengah hari.
Selain mengawal tekanan darah, individu juga digalakkan supaya berhenti merokok, mengamalkan gaya hidup yang aktif dan sihat, merendahkan kolestrol, mengawal kandungan gula dalam badan, dan mengurangkan pengambilan alkohol.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Persatuan Strok Kebangsaan Malaysia (Nasam),Sylvia Chong berkata, apabila seseorang itu menghidap strok, kehidupan mereka boleh berubah 360 darjah sepanjang hayat sehingga menjejaskan kualiti kehidupan mereka dan keluarga terdekat.
“Apabila strok berlaku, kebanyakan pesakit mengalami kemurungan yang serius kerana kesukaran untuk menguruskan kehidupan seharian mereka.
“Dengan pergerakan yang terhad dan sukar untuk bertutur dengan normal, mereka tidak mempunyai pilihan lain selain bergantung kepada ahli keluarga terdekat untuk mendapatkan bantuan.
“Individu akan berhadapan dengan pelbagai kitaran seperti penafian, kecewa, hilang harapan sehinggalah ada yang mengambil keputusan untuk membunuh diri.
“Jadi kami di Nasam memperjuang kehidupan penghidap-penghidap strok untuk kembali kepada kehidupan normal kerana adanya peluang tersebut jika mereka melakukan rawatan pemulihan yang sepatutnya.
“Bersempena dengan Hari Strok Sedunia yang akan disambut pada 29 Oktober ini, kami menyeru kepada semua orang untuk mengetahui tentang bahaya penyakit ini dan membawa orang tersayang mereka yang telah menghidap strok ke Nasam untuk dibantu,” katanya.
Sumber - Utusan Online







Tiada ulasan :
Catat Ulasan