Selasa, 25 Oktober 2016

KDN lulus kemasukan 7,600 Pati

Tiada ulasan :
Gambar Hiasan

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) telah meluluskan sejumlah 7,600 pekerja asing tanpa izin (Pati) untuk bekerja di 110 buah kilang perabot di seluruh negara.  

Presiden Majlis Perabot Malaysia, Chua Chun Chai. berkata, adalah dijangkakan KDN kemungkinan akan meluluskan lebih ramai lagi Pati untuk membantu kilang-kilang perabot di seluruh negara yang sedang menghadapi masalah kekurangan pekerja asing secara serius.

Difahamkan, sebanyak 320 kilang perabot di seluruh negara telah membuat permohonan kepada kerajaan untuk mendapatkan khidmat Pati dengan jumlah tidak lebih daripada 28,000 orang.

"Bagaimana pun, buat masa ini, kerajaan hanya akan meluluskan 7,600 orang sahaja. Selebihnya akan dibuat dari masa ke semasa. Saya berjanji akan terus berunding dengan kerajaan untuk membawa lebih ramai Pati dalam tempoh terdekat," kata Chun Chai seperti dilapor Oriental Daily.

Menurut Chun Chai, bidang pembuatan perabot adalah bidang tradisional yang memerlukan tenaga pekerja yang ramai.

"Cabaran yang besar yang dihadapi dalam sektor pembuatan perabot adalah perlu meningkatkan produktiviti namun pada masa yang sama tidak boleh terlalu bergantung kepada tenaga pekerja asing.

"Sekiranya kita tidak mempunyai tenaga pekerja yang mencukupi, negara kita tidak mungkin boleh menjadi salah sebuah daripada 10 buah negara pengeluar perabot terbesar di dunia. Pada tahun lalu, jumlah eksport perabot negara ialah sebanyak RM9.14 bilion, naik 14.1 peratus berbanding tahun lalu," katanya.

Bajet pembangunan perlu lebih banyak daripada operasi

Sebagai negara yang sedang pesat membangun untuk mencapai kejayaan dalam saingan global, Bajet 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lalu seharusnya melebihkan perbelanjaan untuk pembangunan daripada operasi.

Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong), Tan Sri Pheng Yin Huah berkata, perbelanjaan Kerajaan Persekutuan meningkat sebanyak 3.4 peratus kepada RM260.8 bilion pada tahun 2017 berbanding RM252.1 bilion pada tahun lalu dengan 82 peratus diperuntukkan dalam perbelanjaan operasi dan bakinya perbelanjaan pembangunan.

"Daripada RM260.8 bilion itu, RM214.8 bilion telah digunakan untuk perbelanjaan operasi, ini menyebabkan perbezaan yang amat ketara dengan perbelanjaan pembangunan hanya memperoleh 18 peratus sahaja ataupun RM46 bilion sahaja," katanya dipetik dalam laporan China Press.

Menurut Yin Huah, dalam perbelanjaan operasi, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM77.4 bilion ataupun 29.7 peratus untuk tujuan pemberian gaji dan kebajikan kepada penjawat awam.

"Ini menunjukkan kerajaan telah memperuntukkan banyak wang untuk sektor perkhidmatan awam sekali gus memberi bebanan kepada negara," katanya.

Beliau mencadangkan kepada kerajaan agar mengambil langkah untuk memperbaiki sistem dan mengurangkan jumlah penjawat awam yang sedia ada.

Tiada bank pada tahun 2030?

Bank dan institusi kewangan dijangka akan 'lenyap' pada tahun 2030 apabila digantikan dengan teknologi moden.

Inilah laporan yang dibuat oleh sebuah institut akauntan yang terkenal di dunia, KPMG

Menurut China Press, kebanyakan bank-bank di seluruh dunia tidak akan menggunakan tenaga kerja lagi menjelang tahun 2030, sebaliknya akan mendapat khidmat teknologi moden seperti siri EVA, digital dan khidmat melalui talian.

Di beberapa negara Eropah seperti Belanda dan Jerman, misalnya telah membuang kira-kira 15,800 pekerja bank dalam beberapa tahun yang lalu dan berjaya menjimatkan kos.

Mengikut perancangan, kira-kira 80 peratus operasi perbankan di rantau Eropah akan ke era digital menjelang tahun 2020.

Akhbar ini turut meramalkan, beberapa bank asing seperti Citibank dan Standard Chartered yang membuka beberapa buah cawangan di negara kita turut akan mengikuti jejak dengan mengutamakan khidmat online dan mengurangkan tenaga pekerja dengan banyak.

Sumber - Sinar Harian

Tiada ulasan :

Catat Ulasan