Isnin, 17 Oktober 2016

Kanak-kanak 2 tahun parah terjatuh eskalator ketika didukung bapa

Tiada ulasan :

PULAU PINANG 17 Okt. – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun parah selepas terjatuh dari eskalator aras satu bangunan pusat beli-belah di Bukit Jambul di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, kanak-kanak tersebut dikatakan didukung di atas bahu oleh bapanya ketika sedang menaiki eskalator berkenaan.

Bagaimanapun, menurut sumber polis, kanak-kanak itu difahamkan terjatuh selepas bapanya panik kerana mendapati tangan anaknya tersepit pada bahagian pemegang eskalator berkenaan.

“Dalam keadaan panik itu, kanak-kanak tersebut dikatakan terlepas daripada dukungan bapanya dan jatuh ke tingkat bawah kompleks beli-belah berkenaan.

“Kanak-kanak itu ketika ini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang selepas mengalami pendarahan dalam kepala serta retak tempurung kepala,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Sek. 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sumber – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan :

Catat Ulasan