International Business Times melaporkan, anak perempuan kedua Raja Bhumibol dan Permaisuri Sirikit berusia 61 tahun itu merupakan wanita popular di Thailand sehingga dikenali sebagai Pra Thep atau bermaksud Pute­ri Bidadari oleh rakyat.
Dilahirkan pada 1955, puteri raja itu masih bujang dan menghabiskan kebanyakan masanya dalam bidang kesenian selain projek kebajikan yang dijayakan ayahandanya.
Keperibadian Puteri Maha Chakri sama sekali berbeza dengan Putera Vajiralongkorn yang diangkat sebagai Putera Mahkota pada 1972 sehingga putera raja itu tidak disukai sebahagian besar rakyat ekoran reputasinya yang dikenali sebagai ‘kaki perempuan’.
Ini ditambah selepas video yang menunjukkan bekas isteri­nya, Puteri Srirasm yang hanya memakai seluar dalam semasa sambutan hari jadi anjing peliharaannya menjadi viral, membangkitkan rasa kurang setuju dalam kalangan rakyat bagi pelantikan Putera Vajiralongkorn sebagai Raja Thailand.
Malah, Puteri Maha Chakri dikatakan bakal menggantikan Raja Bhumibol semasa Perlembagaan Thailand digubal pada 1974 yang membolehkan wanita ditabal sebagai raja.
Semuanya disebabkan oleh tindakan Puteri Ubolratana Rajakanya, puteri sulung, berkahwin dengan seorang warga asing sekali gus membatalkan kelayakannya menjadi seorang raja.

Selain itu pada 2010, satu dokumen yang didedahkan Wiki­leaks menunjukkan Puteri Maha Chakri mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin tentera terdahulu dan sekarang, sekali gus satu pilihan logik untuk menerajui takhta.
“Jika Putera Mahkota mang­kat, banyak perkara boleh berlaku. Mungkin Puteri Maha Chakri boleh menggantikannya,” kata bekas Ketua Marsyal Udara Siddhi Savetsila dalam dokumen itu.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha mengesahkan Putera Vajiralongkorn bakal menaiki takhta selaras de­ngan Perlembagaan.
“Sebarang usaha meminda proses penggantian itu akan mengun­dang ketidakstabilan kera­na Putera Vajiralongkorn te­lah dinamakan sebagai pengganti.
“Ini bermakna, sebarang usaha untuk menggantikan Putera Vajiralongkorn dengan adiknya boleh ditafsirkan sebagai pencabu­lan wasiat raja,” kata penganalisis politik, Ryan Aherin.
Sementara itu, Presiden Majlis Privi, Jeneral Prem Tinsulanonda dinamakan sebagai Pemangku Raja sementara berikutan permohonan Putera Vajiralongkorn supaya diberi sedikit masa sebelum baginda menaiki takhta.
Pemilihan Prem, yang juga Perdana Menteri Thailand dari 1980 hingga 1988, disahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Wissanu Krea-ngam. 
Sumber – BERNAMA/AGENSI, UTUSAN ONLINE