Pakar hartanah Islam, Ghazali Ibrahim berkata, perkara itu telah pun berlaku sejak zaman Rasulullah dan para sahabatnya apabila kekayaan dikumpulkan dan dibelanjakan untuk mengembangkan ajaran Islam.
“Kebanyakan umat Islam keliru dalam hal ini adakah dibolehkan mencari harta yang banyak walhal dalam al-Quran dan hadis banyak kali menyebut mengenai harta.
“Sebenarnya tidak salah cari dan guna harta tetapi gunakan seelok-eloknya. Islam menuntut menjadi kaya, milikilah sebanyak-banyaknya tetapi sampai masa bayarlah zakat,” katanya semasa menyampaikan ceramah bertajuk Islam & Hartanah dalam Simposium Hartanah Utusan 2016 (SHU 2016) di sini hari ini.
Simposium tersebut dirasmikan Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Hassan Mohd. Noor dan dianjurkan Utusan Me­layu (Malaysia) Bhd.
Program tersebut yang dibuka secara percuma bermula hari ini sehingga esok menampilkan 15 penceramah yang akan membongkar rahsia dunia hartanah secara terperinci.
Ghazali berkata, sesete­ngah masyarakat Islam pula menyalah tafsir dengan kelonggaran Islam yang memberi peluang untuk mengumpul kekayaan.
Beliau menjelaskan, akibatnya mereka menggunakan secara salah apabila harta itu digunakan untuk menindas, menipu dan melakukan rasuah.
“Kekayaan seperti ini tidak wajar bahkan Allah memberi azab kepada golongan ini seperti yang pernah berlaku pada zaman Nabi Musa iaitu Qarun apabila dia menjadi lupa diri selepas menjadi kaya.
“Kaya tidak salah, yang salah adalah menindas, rasuah dan menipu walaupun harta itu halal. Sebagai manusia ada keinginan untuk kaya tetapi jika sampai lupa kewajipan mereka akan jadi tamak,” katanya.
Ghazali menambah, Islam turut melarang mendapatkan harta dengan cara meminta-minta termasuk mereka yang memberi sedekah kepada orang yang tidak sepatutnya menerima sedekah.
“Adalah berdosa meminta-minta jika kamu sihat dan boleh bekerja, dan jika ada yang meminta sedekah, kita pula tidak boleh memberi ke­rana ia menggalakkan pengangguran dan menambah negatif dalam masyarakat,” katanya.

Sumber - UTUSAN ONLINE