SHAH ALAM – Pemberian baucar buku yang diganti dengan kad debit kepada pelajar untuk membeli buku, alat tulis, alatan komputer dan akses internet bakal memberi kesan buruk kepada seluruh rangkaian industri buku.
Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa), Ishak Hamzah berkata, sebahagian besar masalah yang berlaku pada penyalahgunaan baucar buku sebelum ini adalah apabila ia ditukarkan kepada alatan komputer.
“Kaedah yang diambil kerajaan dengan menukarkan baucar kepada kad debit adalah kawalan yang bagus, namun apabila kegunaan kad debit diperluaskan dengan membolehkan pelajar membeli alat tulis, alatan komputer dan akses internet, ia akan memberi impak negatif terhadap industri buku.
“Ia mewujudkan persaingan yang tinggi dan sebahagian besar penukaran kad debit itu tidak akan berlaku kepada bahan bacaan, sekali gus ia akan kesan yang negatif kepada seluruh rangkaian industri buku termasuklah penulis, penerbit, pencetak, pengedar dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2017 yang menukar pemberian baucar buku dengan kad debit RM250 kepada pelajar yang membolehkan mereka memberi buku, alat tulis, alatan komputer dan akses internet.
Menurut Ishak, penukaran kad debit boleh diteruskan, namun ia perlu berbalik kepada tujuan asal dengan mengehadkannya kepada bahan bacaan.
“Saya mahu sarankan kepada ahli parlimen supaya mencadangkan dua perkara iaitu mengehadkan penggunaan kad debit kepada bahan bacaan, tidak kiralah sama ada bahan bercetak, ‘channel’ mahupun ebook. Yang keduanya, dari segi pelepasan cukai gaya hidup RM2,500 untuk membeli pelbagai barangan perlu dikhususkan sebanyak RM1,000 untuk membeli bahan bacaan.
“Jika kedua-duanya dilaksanakan, ia mampu memberikan sedikit impak positif kepada industri buku yang sudah sedia terjejas dengan keadaan ekonomi hari ini. Jika tidak, ia bukan hanya menjejaskan masa depan industri buku, malah memberi kesan terhadap masa depan rakyat berilmu,” katanya lagi
Pada masa sama, Mabopa turut meminta kerajaan mewujudkan kategori khas untuk bahan bacaan daripada digabungkan dalam pelepasan cukai gaya hidup dan menilai kembali peluasan bantuan pelajar pendidikan tinggi melalui kad debit.
Ishak berkata, pihaknya memohon pelepasan cukai RM1,000 daripada RM2,500 yang diberikan hanya untuk buku, manakala kad debit pelajar sejumlah RM250 dihadkan untuk bahan bacaan.
Sumber - Sinar Harian
Tiada ulasan :
Catat Ulasan