SINGAPURA: Harga minyak jatuh dalam dagangan awal pagi ini apabila Iraq berkata, ia mahu dikecualikan daripada sebarang rundingan dengan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) untuk mengurangkan pengeluaran demi mengukuhkan pasaran. Pada masa sama, kegiatan cari gali di Amerika Syarikat (AS) turut meningkat. Niaga hadapan minyak mentah Brent diniagakan pada AS$51.59 satu tong pada 0133 GMT, turun 19 cent atau 0.4 peratus daripada penutup terakhirnya. Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) pula turun 22 cent, atau 0.4 peratus pada AS$50.63 satu tong.
Peniaga berkata, harga jatuh susulan kenyataan daripada Iraq yang berkata ia mahu dikecualikan daripada pengurangan pengeluaran oleh OPEC yang dirancang pada mesyuarat kumpulan itu 30 November ini. OPEC merancang mengurangkan pengeluaran dalam lingkungan 32.5 juta hingga 33 juta tong sehari (bpd), daripada 33.39 juta bpd pada September. Adalah sukar bagi mencapainya jika Iraq, yang juga pengeluaran kedua terbesar OPEC selepas Arab Saudi, tidak menyertainya. Iraq berkata, pengeluaran minyaknya mencecah 4.774 juta bpd, dengan eksport berada pada 3.87 juta bpd. "Kami tidak akan berundur dalam apa cara sekalipun, bukan oleh OPEC dan bukan oleh sesiapa pun," kata Ketua State Oil Marketing Company Iraq, Falah al-Amri.
Sumber - REUTERS, BH Online
Tiada ulasan :
Catat Ulasan