BENTONG - Kenyataan yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (MoF)
Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah mengenai rakyat boleh guna BR1M beli
Proton Iriz untuk menjadi pemandu Uber dan orang miskin tidak dikenakan
GST menunjukkan bahawa keadaan ekonomi negara kita dalam keadaan
yang tenat.

Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli mendakwa, berdasarkan kenyataan itu
membayangkan dan menyakinkan rakyat dan pelabur satu dunia bahawa
ekonomi Malaysia berkedudukan dalam keadaan yang rapuh.

Malah katanya, apabila kenyataan itu datang daripada ketua setiausaha
perbendaharaan, kenyataan itu lebih teruk dan memalukan daripada kenyataan
yang pernah dikeluarkan oleh timbalan menteri.

“Apabila orang nombor satu dalam pentadbiran ekonomi negara kita
yang bukan dari kalangan ahli politik bagi kenyataan yang lebih teruk,
sebab itulah semua pelabur lari dan pelabur baru tidak masuk.

“Akibat daripada pelabur asing lari sebab itu nilai mata wang jatuh
dan apabila nilai mata wang jatuh maka ekonomi pun jadi
tidak baik yang menyebabkan harga barang pun naik,”katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika ditemui pemberita dalam
Program Sertai Invoke Jumpa Rafizi di Pusat Khidmat Keadilan
Bentong di sini.


Turut hadir dalam majlis itu Ketua Setiausaha Sekretariat 
Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah dan Naib Ketua PKR 
Cabang Bentong, Isa Ahmad.

Akibat daripada kesan itu, Rafizi berkata, kini rakyat di Malaysia
kian terhimpit akibat daripada pelbagai kenaikan harga makanan,
GST termasuk terkesan dengan kejatuhan nilai ringgit.

Dalam pada itu, Rafizi menolak dakwaan yang mengatakan keadaan
ekonomi yang tenat kini hanyalah persepsi yang dicanang
pembangkang.

Malah, katanya, pihaknya tidak perlu menjawab pun kenyataan
itu namun sebenarnya Irwan yang perlu membuktikan dan
mengesahkan mengenai kenyataannya itu.

Sumber - Sinar Harian