SHAH ALAM - Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mencabar supaya bekas naib pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku 
Ibrahim mendedahkan bukti dan sumber yang diperolehinya berhubung dakwaan pemilihan beliau sebagai perdana menteri sekiranya Pakatan 
Harapan menang dalam PRU14 akan datang.

Menurut beliau, sekiranya Tunku Abdul Aziz gagal berbuat demikian, 
pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan saman terhadapnya berhubung dakwaan fitnah tersebut.

“Saya tuan punya badan menafikan dakwaan itu dan beliau (Tunku 
Abdul Aziz) perlu mendedahkan siapakan pemberi maklumat tersebut.

“Kalau beliau tidak dedahkan, saya akan mengambil tindakan 
undang-undang (saman) ke atasnya selepas ini,” katanya kepada 
Sinar Harian.

Sebelum ini, Tunku Abdul Aziz mendakwa Pengerusi Bersatu, 
Tun Dr Mahathir Mohamad dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang 
telah sepakat untuk memilih Mukhriz sebagai perdana menteri
sekiranya Pakatan Harapan menang dalam PRU14 akan datang.

Sehubungan itu, beliau berkata dakwaan berkenaan adalah 
tidak berasas malah ia hanya berunsur fitnah semata-mata.

“Saya hairan macam mana seorang yang kita kenali sebagai 
orang yang hebat boleh keluarkan kenyataan tak masuk akal 
dan berunsur fitnah sebegitu.

“Saya sendiri terkejut yang beliau boleh percaya kepada 
dakyah-dakyah sebegini sehingga mengeluarkan kenyataan 
sedemikian,” katanya.

Menyentuh lebih lanjut mengenai dakwaan tersebut, Mukhriz 
yang juga merupakan bekas Menteri Besar Kedah itu 
memaklumkan bahawa tujuan kenyataan sebegitu dikeluarkan
adalah bagi mengelirukan rakyat tentang tujuan sebenar 
Bersatu dan Pakatan Harapan.

Beliau berkata, Bersatu hanya ingin menyelamatkan negara 
dan isu mengenai soal kepentingan peribadi tidak 
pernah timbul.

“Sebelum ini perkara sama pernah dibangkitkan oleh 
Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku 
Sharifuddin Tengku Ahmad dan saya telah mengambil 
tindakan saman ke atas beliau.

“Tindakan sebegini seolah-olah seperti memperlekehkan 
usaha Bersatu yang ingin menyelamatkan Malaysia,” 
katanya.

Sumber - Sinar Harian