Sultan Muhammad V
KOTA BHARU - Sesuai dengan ungkapan "Raja dan rakyat berpisah tiada", Sultan Muhammad V yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong ke-15 hari ini, sentiasa memayungi rakyat dengan memastikan kepentingan dan keperluan mereka terjaga.
Bagi menzahirkan komitmen itu. Pertubuhan Kerabat DiRaja Al-Muhammadi telah diasaskan baginda sejak 2010, bertujuan mendekatkan diri dengan rakyat jelata, khususnya di Kelantan.
Bendaharinya Datuk Tengku Ibrahim Farihaddin Tengku Feisal berkata melalui pertubuhan itu, Seri Paduka melaksanakan pelbagai program bersama rakyat selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 September 2010.
Ini termasuk tiga aktiviti utama iaitu 'Walkathon D'Raja Kelantan', 'Qiam With Me' dan 'Come Clean With Me' yang mendapat sambutan hangat puluhan ribu rakyat pelbagai kaum yang menyertai aktiviti itu setiap tahun.
"Setiap aktviti tersebut mempunyai keistimewaannya yang tersendiri di mana acara Walkathon D'Raja mempromosikan kesihatan, Qiam With Me pula berkaitan aspek kerohanian khusus untuk orang Islam manakala Come Clean With Me pula mempromosikan kebersihan.
"Selain itu, pertubuhan ini juga sentiasa bergerak untuk menolong rakyat terutama ketika banjir besar melanda Kelantan pada 2014 dahulu," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di Istana Balai Besar, di sini.
Mengulas lanjut, Tengku Ibrahim Farihaddin berkata, kesemua program yang dibuat oleh pertubuhan itu adalah berdasarkan cetusan idea daripada Seri paduka sendiri.
Beliau berkata menerusi Program Walkathon D'Raja Kelantan, ribuan rakyat Kelantan daripada pelbagai peringkat umur berpeluang untuk berjalan bersama-sama Sultan Muhammad V dan beberapa kerabat Diraja lain sejauh tujuh kilometer di sekitar bandar Kota Bharu.
"Jika dikira, berjalan sejauh tujuh kilometer ini sama seperti berjalan 10,000 langkah.
"Malah, pada 2011, program itu diiktiraf oleh Malaysia Book Of Records sebagai penyertaan terbesar Walkathon D'Raja Malaysia selepas berjaya mengumpul sebanyak 21,111 peserta," katanya.
Tengku Ibrahim Farihaddin berkata, bagi program Qiam With Me pula, ia merupakan aspek kerohanian yang cuba ditampilkan oleh Sultan Muhammad V apabila baginda sendiri duduk bersama-sama rakyat untuk berqiamullail pada 10 malam terakhir Ramadan.
Beliau berkata, kedua-dua program itu turut dimasukkan dalam kalendar pelancongan Kelantan sebagai satu lagi daya tarikan pelancongan yang unik di negeri ini.
Menyentuh keperibadian Sultan Muhammad V, Tengku Ibrahim Farihaddin menyifatkan sepupunya itu seorang yang sangat gemar membaca dan berpengetahuan tinggi dalam sesuatu perkara.
"Baginda seperti ensiklopedia kadang-kadang, kerana apa-apa perkara yang saya tidak tahu, saya akan bertanya kepada baginda dan baginda pasti akan dapat memberi jawapan kerana baginda seorang yang sangat gemar membaca dan selalu bertanya dengan pakar dalam pelbagai bidang.
"Jadi baginda seorang yang mempunyai ilmu pengetahun yang luas dan kami akan berbincang tentang sebarang topik.
"Baginda juga seorang yang sederhana apabila ingin mengadakan aktiviti melawat jajahan, baginda pergi senyap-senyap dan tak beritahu kepada kerajaan negeri dan kadang-kadang kalau nak solat, baginda tak pernah beritahu Imam di sesuatu masjid yang ingin disinggahinya," katanya.
Mengenai hobi Sultan Muhammad V pula, Tengku Ibrahim Farihaddin berkata, baginda gemar melakukan aktiviti bersukan sebagaimana yang dipraktikkan Nabi Muhammad SAW.
Antaranya memanah, menembak, lumba kuda, berenang, aktiviti lasak pacuan empat roda dan memancing, selain turut memelihara pelbagai haiwan seperti kucing, kambing dan burung unta.
Baginda juga seorang yang amat menitikberatkan soal pemakanan dan gemar mengambil makanan yang berkhasiat, katanya.
Sumber - Bernama, Sinar Harian
Tiada ulasan :
Catat Ulasan