Isnin, 14 November 2016

Nama Damia: Henti perlekeh mufti

Tiada ulasan :

GEORGETOWN - Segelintir ibu bapa masih hangat membincangkan isu penggunaan nama Damia.

Perbalahan turut berlaku sehingga ada yang dilihat cuba memperlekehkan kenyataan Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Sementara itu, Pendakwah Majlis Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Brunei Indonesia Malaysia Singapura (Mabims), Shahrul Azalan Mohamed Zamri berkata, dia terkejut dengan tindakan masyarakat yang berbuat sedemikian.

Tegasnya, adalah tidak wajar adanya kelompok masyarakat yang mengapi-apikan serta memanipulasi isu berkenaan.

“Ini kerana institusi agama perlu dihormati termasuk mereka yang mengemudinya, mereka berperanan dalam memastikan agama Islam tidak dinodai dan tidak dicemari.

“Dalam masa yang sama alim ulama itu pewaris anbia. Maka hormatilah pandangan mereka,” katanya.

Shahrul Azalan yang juga mahir dalam penggunaan Bahasa Arab memaklumkan, selaku ibu-bapa, pemilihan nama buat anak sebaiknya perlu dirujuk kepada alim ulama kerana mereka lebih arif mengenai kaedah tatabahasa Arab.

Jelasnya, sebolehnya jangan tertumpu kepada buku carian nama anak atau berpandukan carian internet sahaja.

“Kita dianjurkan supaya merujuk kepada para ustaz atau ulama, kerana sunat memberi nama anak dengan nama yang baik-baik.

“Sejajar dengan sabda Rasulullah SAW dari Hadis Riwayat Abu Dawud, ‘Kalian akan dipanggil di hari kiamat dengan nama-nama kalian dan nama-nama ayah kalian. Oleh itu gunakanlah nama yang baik,” katanya.

Sebelum ini surat daripada Jabatan Mufti Pulau Pinang menjadi viral di laman sosial termasuk Facebook dan juga WhatsApp.

Melalui surat bertarikh 7 November 2016 itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang mewakili jabatan mufti memberi penjelasan kepada Jabatan Pendaftaran (JPN) Pulau Pinang mengenai permohonan pertukaran nama baru individu yang bernama ‘Damia’.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mufti sahkan maksud nama Damia]

Tulis Wan Salim melalui surat berkenaan, ia memandangkan nama sedia ada pada pemohon iaitu Damia, membawa maksud kurang baik iaitu tempat keluarnya darah.

Surat berkenaan kemudiannya tersebar luas di laman sosial sehingga menjadi perbalahan di kalangan netizen. Malah ada ibu-bapa yang mempunyai nama anak bernama Damia tidak bersetuju dan menganggap maksud sebenar Damia ialah bijaksana.

Semalam Wan Salim melalui Sinar Harian turut tampil mengesahkan laporan berkenaan dan memaklumkan isu tersebut hanya ditujukan kepada pemohon.

Bagaimanapun salah seorang ibu yang tidak mahu namanya disiarkan memberitahu, dia menjadi gelisah setelah timbulnya isu berkenaan.

Menurutnya, ada pelbagai pendapat diberikan orang ramai.

“Selepas ini saya akan lebih berjaga-jaga sekiranya ingin memberikan nama anak-anak, memang sebelum ini nama berkenaan menjadi trend.

“Saya berikan kerana tahu maksudnya yang baik, tetapi tidak sangka timbul pertikaian pula, walau apa pun saya nasihatkan supaya sebagai ibu-bapa janganlah kita cuba memperlekehkan mufti. Dia hanya nasihat, bukan katakan ianya sebagai dosa,” katanya.

Sumber - Sinar Harian

Tiada ulasan :

Catat Ulasan