Jumaat, 11 November 2016

Jangan sesekali riba!

Tiada ulasan :

BERDASARKAN surah Al-Baqarah ayat 279, Allah dan Rasul-Nya mengisytiharkan perang ke atas mereka yang mengambil riba.

Ketika menafsirkan ayat al--Quran ini, al-Qurtubi memetik kata-kata Imam Malik, “Sesungguhnya, aku telah membaca lembaran al-Quran dan as-Sunnah dan tidak aku dapati benda yang lebih buruk dari riba, kerana ALLAH SWT mengisytiharkan perang ke atas pelakunya.”

Sesungguhnya, riba adalah kesalahan yang besar. Menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk menjauhinya.

Apa itu riba?

Riba adalah kalimah yang berasal dari bahasa Arab yang bermaksud pertambahan. Ia bermaksud tambahan yang diperolehi oleh salah satu pihak daripada pihak yang lain dengan mengambil pulangan yang tidak wajar.

Haramkah riba?

Riba secara terang-terangan haram berdasarkan beberapa ayat Quran dan hadith. Imam Al-Bukhari ada meriwayatkan sebuah hadith yang menggerunkan tentang mereka yang memakan harta riba yang bermaksud:

“Nabi SAW bersabda: “Malam ini, aku bermimpikan dua orang datang berjumpaku dan membawaku ke sebuah tanah suci sehingga kami sampai di suatu sungai yang mengalir darah. Seorang lelaki berdiri di tengah sungai itu, manakala seorang lelaki lain berdiri di tebing sungai itu sambil memegang batu di kedua belah tangannya.

Setiap kali lelaki di tengah sungai itu ingin keluar, dia dibaling batu ke dalam mulutnya oleh lelaki di tepi tebing, memaksanya kembali ke tempat asalnya. Aku bertanya, “Apa hal ni?” Aku kemudian diberitahu:”Orang yang kau nampak di tengah sungai itu adalah pemakan riba” (Hadith no. 2085).

Apa contoh riba?

Jika kita sedari, sebenarnya banyak transaksi kewangan konvensional adalah berasaskan riba, seperti pinjaman perumahan, pinjaman kereta, pinjaman peribadi, kad kredit dan simpanan tetap.

Begitu juga dengan insurans konvensional, ia telah difatwakan haram oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan sejak 1972 kerana mempunyai unsur riba, gharar (ketidaktentuan dalam akad) dan maisir (perjudian).

Perlu diingat, riba juga boleh terjadi dalam kehidupan seharian kita jika kita tidak berwaspada. Contohnya, dalam pertukaran matawang asing, pertukaran perlu berlaku dengan serta-merta. USD 10 apabila ditukarkan dengan RM40, ia perlu ditukar tanpa ada penangguhan salah satu daripada matawang tersebut.

Jika hendak menukar mata wang kepada pecahan mata wang yang lebih kecil pula, satu syarat tambahan perlu diikuti iaitu mata wang tersebut mestilah sama nilainya.

Contohnya, sehelai wang kertas RM50 boleh ditukar untuk dipecahkan kepada helaian RM 10 dengan syarat terdapat lima helai wang kertas RM10 yang ditukarkan serta-merta dengan wang kertas RM50 itu.

Dalam hal peminjaman wang pula, riba boleh terjadi dalam bentuk wang atau manfaat, sama ada termaktub dalam kontrak atau pun diputuskan kemudian.

Contohnya, si A meminjam RM6,000 daripada si B dan bersetuju untuk melunaskan hutang sebulan kemudian.

Jika awal-awal lagi si B mensyaratkan untuk membayar balik RM6,001, tambahan RM1 itu sudah semestinya adalah riba.

Atau jika selepas sebulan, didapati si A tidak mampu untuk membayar, dan si B memberi masa tempoh sebulan dan menambahkan jumlah wang yang perlu dibayar kepada RM 6,001, tambahan RM1 itu tidak dapat disangkal lagi adalah riba. Atau jika si B meminta si A untuk memotong rumput di halaman rumahnya (yang sebelum itu, tak menjadi kebiasaan antara mereka berdua), manfaat dari rumput yang dipotong itu sememangnya riba.

Tepuk dada, tanya iman kita. Perubahan dalam skala besar tidak akan berlaku tanpa kesedaran dan perubahan dengan diri kita sendiri. Kerana itu, percayalah, apa yang penting, ialah langkah pertama itu sendiri.

Allah berfirman dalam Surah ar-Ra’d, ayat 11 yang bermaksud: “Sesungguhnya, Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

Wallahu’alam.

Sumber - Sinar Harian

Tiada ulasan :

Catat Ulasan