Ahad, 20 November 2016

'Ini sumbangan ikhlas saya' - TMJ

Tiada ulasan :

TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tetap melakukan sumbangan terhadap bola sepak negara walaupun kerap kali dikritik sehingga dilabel sebagai pembunuh sukan berkenaan.

Menurutnya, setakat ini, beliau berbincang dengan syarikat televisyen berbayar, Astro berkaitan soal pengurusan Liga Malaysia (Liga-M).

“Apa yang telah saya lakukan setakat ini adalah berbincang dengan Astro dan mereka pula akan berbincang dengan rakan kongsi berpotensi lain seperti FoxSports dan Telekom Malaysia bagi menguruskan liga.

“Astro akan berurusan secara terus dengan kelab mengenai hak penyiaran mereka dan tidak akan ada orang tengah dari FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia). FAM hanya akan bertindak sebagai penjaga liga dan tiada lagi FMLLP,” katanya seperti dipetik dalam laman Facebook Johor Southern Tigers, di sini, semalam.

Tunku Ismail berkata, perkara lain yang sedang diusahakannya adalah mewujudkan ruang dan peluang kepada penyokong di setiap negeri untuk bertanya secara terus kepada FAM.

“Setiap tiga bulan sekali mesyuarat FAM akan diadakan di setiap negeri dan penyokong diberi peluang untuk bertanya apa sahaja soalan selepas mesyuarat tersebut bagi mengetahui perkembangan bola sepak tanah air,” katanya yang turut memaklumkan pengadil di Malaysia bakal menjadi sebuah badan bebas seperti di luar negara.

Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut memberitahu semua kelab juga akan diwajibkan mempunyai projek pembangunan sendiri.

“Kelab-kelab yang gagal membayar gaji akan dibatalkan penyertaan,” katanya.

Malah, Tunku Ismail berkata, satu pasukan kejurulatihan dari Sepanyol juga akan menjadi jurulatih pasukan kebangsaan.

“Saya yakin dengan formula ini, kita akan mempunyai liga yang lebih profesional, membantu segi kewangan kelab dan memiliki persaingan yang akan membawa kepada peningkatan prestasi skuad kebang-saan kita.

“Ini adalah sumbangan ikhlas saya kepada peminat bola sepak negara. Nikmatinya,” katanya.

Dalam posting sama, Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu berkata, beliau menerima banyak panggilan memujuk untuk menjadi Presiden FAM.

“Ini termasuk panggilan daripada perdana menteri, Menteri Belia dan Sukan, media, dan juga presiden kelab lain serta ahli gabungan.

“Saya beritahu mereka bahawa saya tidak sesuai bagi jawatan tersebut atas dasar wujudnya konflik kepentingan,” katanya.

Sumber - Sinar Harian

Tiada ulasan :

Catat Ulasan