Sebelum ini tumpuan netizen kepada 'nasi lemak anak dara', kini muncul pula nasi lemak merah jambu yang dijual oleh jutawan kosmetik Datuk Seri Hasmiza Othman.
Selepas sehari didakwa di mahkamah atas tuduhan gagal mengemukakan penyata dan gagal membayar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) membabitkan kira-kira RM4.2 juta, Hasmiza tampil dengan produk baru.
Beliau kini tampil dengan nasi lemak yang diberi nama 'nasi lemak Qu Puteh'.
Melalui video yang dimuat naik di Instagram hari ini, Hasmiza mempromosikan gerai nasi lemaknya yang terletak di Simpang tiga Janda Baik, Bentong Pahang.
Melalui rakaman video tersebut katanya, misinya hari ini adalah untuk menghabiskan jualan 200 bungkus nasi lemak tersebut
"Nasi lemak, nasi lemak sedapnya Qu Puteh. Kita kena habiskan misi 200 bungkus nasi lemak. Datang ramai-ramai kita live, berniaga pun live.
"Hai sayang lepas ini saya ada nasi lemak warna pink, saya akan pergi jual di Simpang Tiga Janda Baik," katanya yang juga pengasas syarikat Vida Beauty Sdn Bhd.
Sebelum ini, 'nasi lemak anak dara' menjadi viral di Internet.
Gerai milik nasi lemak milik Siti Hajjar Ahmad turut menarik perhatian Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengadakan lawatan ke gerai tersebut.
Sementara itu, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Vida dalam dua video promosi nasi lemaknya mengatakan nasi lemaknya 'pasti mengancam'.
"Siapa nak rasa nasi lemak saya yang berada di Janda Baik ini tolong singgah-singgah ya, nasi lemak warna pink kita dah siap bungkus.
"Siapa nak rasa nasi lemak saya yang pasti mengancam, hmmm sedapnya... bolehlah ke Simpang Tiga Janda Baik," katanya.
Sumber - Malaysiakini