KOTA BHARU 19 Okt. – Masyarakat umum perlu mengubah persepsi bahawa masalah pening hanya boleh diatasi dengan pengambilan ubat semata-mata sedangkan ada kaedah rawatan lain yang boleh digunakan.
Pensyarah Kanan, Unit Keseimbangan Badan, Program Audiologi Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Zuraida Zainun berkata, rawatan bagi masalah pening boleh diatasi tanpa perlu bergantung kepada ubat melalui modul terapi keseimbangan badan yang telah diperkenalkan USM sejak 2009.
Beliau berkata, modul Bal-Ex yang telah memenangi pingat perak di Malaysia Technology Expo 2010 diiktiraf di peringkat antarabangsa dan kini turut menjadi pilihan Hospital Universiti Sharjah di Dubai untuk rawatan pening pesakit mereka.
“Setakat ini hampir di seluruh dunia, komuniti perubatan hanya mampu membuat diagnosa penyakit pening terutama membabitkan keseimbangan badan tetapi tidak ada rawatan khusus yang boleh ditawarkan kepada pesakit.
“Namun, kita di USM telah menjalankan penyelidikan dan berjaya membuat modul berasaskan pergerakan solat untuk mengatasi masalah pening pesakit.
“Modul ini bukan sahaja berupaya mengenal pasti punca masalah kepeningan bahkan boleh diaplikasi untuk rawatan pesakit dari rumah,” katanya kepada pemberita selepas program Hari Kesedaran Masalah Keseimbangan Badan di Dewan Utama di Kampus Kesihatan USM di sini hari ini.
Dr. Zuraida berkata, masalah pening tidak terhad kepada pesakit darah tinggi ataupun gastrik sahaja, sebaliknya juga berpunca daripada keseimbangan badan selain menghantui golongan muda.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya telah melancarkan Kumpulan Sokongan Pesakit Pening Malaysia bagi memberi kemudahan kepada golongan yang mengalami masalah ini untuk mengemukakan pertanyaan dan berinteraksi secara langsung.
“Kita mahu lebih ramai pesakit tahu mengenai kepeningan yang berpunca dari masalah keseimbangan badan dan cara merawatnya melalui perkongsian dalam Facebook Kumpulan Sokongan Pesakit Pening Malaysia,” katanya.
“Dalam kumpulan ini terdapat 10 perawat terdiri daripada doktor, ahli fisioterapi dan bekas pesakit yang boleh memberi panduan serta nasihat,” katanya.
Tambahnya, buku dan video cakera padat modul Bal-Ex kini dipasarkan secara komersial dan maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman sesawangwww.eartistic.com.my.
Sumber - UTUSAN ONLINE




Tiada ulasan :
Catat Ulasan