Sabtu, 15 Oktober 2016

Mustafar nafi keluar kenyataan "Bantu tangkap PATI dapat duit"

Tiada ulasan :
Jabatan itu juga menafikan kenyataan berkaitan cadangan membenarkan majikan yang memerlukan pekerja asing untuk terus datang memilih di tempat tahanan. - Foto Astro AWANI / Shahir Omar

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen tidak pernah membuat sebarang cadangan atau syor untuk memberi ganjaran dalam bentuk kewangan kepada orang awam bagi menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI), demikian tegas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.

Menafikan mengeluarkan kenyataan "Bantu tangkap PATI dapat duit" seperti disiarkan sebuah akhbar hari ini, Mustafar berkata cadangan atau syor sedemikian boleh menjejaskan keselamatan orang awam.

"Berkemungkinan mereka akan bertindak di luar batasan undang-undang serta menyebabkan implikasi negatif dalam masyarakat," katanya dalam satu kenyataan berhubung penyiaran laporan berkenaan.

Mustafar berkata jabatan itu juga menafikan kenyataan berkaitan cadangan membenarkan majikan yang memerlukan pekerja asing untuk terus datang memilih di tempat tahanan.

Sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan hari ini melaporkan Jabatan Imigresen mengesyorkan agar rakyat yang membantu menangkap PATI diberikan ganjaran kewangan dalam usaha memerangi majikan serta sindiket yang mendalangi penyeludupan warga asing ke negara ini.

Mustafar dilaporkan sebagai berkata bahawa kegiatan penyeludupan PATI dan pemerdagangan manusia di negara ini sukar dibanteras selagi ada dalam kalangan rakyat bersubahat dengan kegiatan itu. 

Sumber -- BERNAMA, Astroawani

Tiada ulasan :

Catat Ulasan