Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, penjenayah akan sentiasa mencari jalan mudah untuk menipu dan akan menggunakan apa cara sekalipun untuk memperdaya orang ramai.
“Zaman sekarang ini macam-macam aduan kita terima, pelbagai modus operandi digunakan untuk menjerat mangsa dan tidak terkecuali mereka yang tanpa segan silu menggunakan agama sebagai platform menagih kepercayaan kita.
“Namun begitu, apa yang le­bih menyedihkan adalah apabila masyarakat kita bersikap terlalu mempercayai sehingga mereka sewenang-wenangnya membiarkan orang mengambil kesempatan. Ada kes yang kita terima mereka anggap tidak mungkin ditipu lebih-lebih lagi melibatkan agama tapi sebenar­nya itu taktik mudah untuk menjerat mang­sa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas tulisan Awang Selamat dalam slot Analisis Mingguan yang menyentuh isu skim pelaburan Islamic Hotel kerana dikatakan gagal melunaskan bayaran serta dividen kepada pelaburnya sehingga mereka merasakan tertipu.
Difahamkan, walaupun pelbagai laporan telah dibuat, sehingga kini tiada tindakan diambil oleh pengasasnya terhadap individu yang terlibat kerana berkemungkinan di­sebabkan kelemahan dalam sistem kawal selia skim berkenaan.
Tambah Nadzim, pihaknya menerima sekurang-kurangnya 10 aduan berhubung pelaburan skim Islamic Hotel untuk tahun ini sahaja.
“Sekiranya tiada kesedaran masyarakat kita, sampai bila-bila pun mereka akan ditipu. Dalam hal ini tidak boleh harapkan pihak berkuasa saja untuk selesaikan sedangkan mereka sendiri yang menjerumuskan diri dalam masalah itu.
“Walau bagaimanapun, kita harap pihak polis boleh tubuhkan unit khas melibatkan cawangan khas untuk menyiasat perkara ini dengan lebih teliti supaya dalang-dalang yang me­ngaut untung itu dapat dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Sumber - Utusan Online

Sila lihat topik : 

Jangan Lelongkan Agama Untuk Keuntungan Peniagaan - by Dr. Maza